Gentarasa 2006 - Anjakan Paradigma

Anjakan Paradigma. Itulah tema bagi persembahan Gentarasa 2006 yang telah diadakan di Kallang Theatre baru-baru ini. Persembahan yang telah menarik minat segolongan besar remaja telah berjalan dalam suasana yang gah. Paluan gendang, tiupan seruling dan iringan muzik moden yang dimainkan secara ‘live’ memperhebat seri acara.

Kesungguhan peserta-peserta Gentarasa 2006 amat mengkagumkan. Baik tarian mahupun nyanyian, dikir barat dan juga gerak silat; semuanya bergerak seiring dengan iringan muzik yang membangkitkan semangat keMelayuan di kalangan hadirin. Keterlibatan para penonton yang diberikan kentong membuat semuanya kecoh seketika. Paradigma dianjak!

Tema persembahan Gentarasa pada tahun ini mempengaruhi setiap gerak dan geri persembahan. Misalnya, tidak pernah terdetik di minda bahawa pergerakan silat yang selalunya dilakukan dengan penuh kesantunan serta ketertiban boleh diterapkan dalam kehidupan moden hari ini tanpa rasa kekok atau janggal. Lenggok tangan dan hayunan pinggang terus membuai penonton dalam rentak muzik yang rancak.

Namun, apa yang menarik perhatian saya pada malam itu tentu sekali persembahan dikir barat yang seakan memberikan tiupan nyawa pada tema ‘Anjakan Paradigma’. Dari awal lagi keunikan dan pergerakan yang dipaparkan menghembuskan kesegaran pada bentuk dikir barat yang sebenar. Dendangan Juara dan Karut yang lunak mendayu-dayu memecah kesunyian dewan.

Semoga anjakan paradigma yang ditonjolkan dalam Gentarasa 2006 akan melimpah ruah ke dalam aspek kehidupan serta kebudayaan kita agar masyarakat Melayu akan terus mengecap kejayaan dalam arus kehidupan yang deras ini. Hidup Melayu!

Leave a Reply